Followers

Wednesday, February 23, 2011

Telupid

Telupid merupakan sebuah daerah yang terletak di tengah-tengah negeri Sabah dan merupakan tempat persinggahan bagi para pengunjung yang datang dari dalam dan luar negeri. Facebook Telupid ini akan berusaha memaparkan peristiwa-peristiwa yang berlaku serta mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di daerah ini.

ASAL USUL NAMA DAERAH

Pada suatu ketika dahulu, di sepanjang Sungai Telupid terdapat sejenis pokok yang tumbuh dengan banyaknya yang dipanggil Tapid-Apid dalam bahasa penduduk tempatan dari suku kaum Dusun di Telupid pada ketika itu. Pokok tersebut digunakan oleh penduduk tempatan untuk keperluan harian mereka samada untuk tujuan aktiviti pertanian mahupun nelayan. Memandangkan pokok tersebut begitu dominan dalam kehidupan mereka; mudah diperolehi dan memudahkan aktiviti kehidupan harian mereka maka penduduk Daerah Kecil Telupid telah menamakan daerah ini mengambil sempena nama pokok tersebut dengan nama TELUPID. 



SEJARAH PEWUJUDAN DAERAH TELUPID

Telupid mula diduduki seawal tahun 1940an dan merupakan kawasan laluan peristiwa bersejarah ‘Death March’ semasa Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945. Daerah ini diwujudkan sekitar tahun 1965 yang mana pada ketika itu hanya merupakan sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh suku kaum Dusun. Perkembangan pembangunan daerah ini bemula apabila Kerajaan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Australia menerusi projek pembinaan lebuhraya yang menghubungkan Telupid dengan Daerah Ranau yang dikenali dengan nama Malaysia-Australia Road Project (MARP) dalam tahun 1968. Pekan Telupid adalah lokasi utama pentadbiran dan pengurusan projek tersebut.

Jalinan kerjasama tersebut telah membawa pembangunan yang amat ketara dengan tumpuan di kawasan pekan. Bangunan-bangunan pejabat pentadbiran, bengkel dan rumah kediaman pegawai dan kakitangan telah dibina dengan begitu rapi yang mana sekaligus mengubah landskap pekan tersebut daripada sebuah perkampungan tradisional kepada sebuah penempatan ala moden pada ketika itu. Menariknya, pekan ini pernah mempunyai sebuah lapangan terbang berhampiran lebuhraya yang boleh digunakan untuk pesawat penerbangan kecil.

Tamatnya pembinaan lebuhraya Telupid-Ranau di bawah projek MARP tersebut telah membawa satu era baru yang mana Kerajaan Negeri pada ketika itu telah mengambil alih semua bangunan dan harta benda di bawah MARP dan diletakkan di bawah penggunaan dan pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diwujudkan dan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih tugas-tugas pemeliharaan dan pembaikan lebuhraya yang telah dibina.

Dalam tahun 1970an, melihat kepada kedudukan daerah ini di lokasi yang strategik iaitu laluan Timur - Barat , Kerajaan dibawah pimpinan Parti USNO pada ketika itu telah mengambil inisiatif mewujudkan Telupid kepada sebuah Daerah Kecil di bawah pentadbiran Pegawai Daerah Beluran, sebagai inisiatif membangunkan daerah tersebut. Jabatan Kerja Raya merupakan jabatan kerajaan yang terawal beroperasi di daerah ini disusuli dengan pengwujudan sebuah Pejabat Daerah Kecil dalam tahun 1977, yang berperanan dalam hal ehwal pentadbiran dan pembangunan daerah ini. Sejak itu, Telupid telah diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dengan nama rasminya Daerah Kecil Telupid.


Sumber Kelab Facebook Telupid

No comments:

Post a Comment